Showing posts with label Fiction. Show all posts
Showing posts with label Fiction. Show all posts

Sedikit Sebanyak: Sundays at Tiffany's oleh James Patterson dan Gabrielle Charbonnet

Awal bulan ini saya mengikuti ayah saya ke Seremban. Memandangkan waktu kami tiba di Seremban, bilik penginapan kami belum tersedia dan ayah saya ada urusan kerja, jadi saya dan adik saya ditinggalkan sebentar di Seremban Parade.

Selepas puas duduk di kedai mamak, kami jalan-jalan di dalam Seremban Parade, kemudian kami terjumpa kedai yang menjual buku-buku terpakai. Kedainya ringkas, dan cuma ditutup dengan kain, bertentangan dengan kedai The Chicken Rice Shop. Saya memang tak punya banyak duit waktu itu tetapi dek kerana melihat ada buku, saya masuk kedai tersebut, membelek-belek beberapa buah buku. Tidak banyak yang betul-betul menarik minat saya tapi di hujung rak, saya terjumpa buku 'Sunday's at Tiffany's' yang ditulis bersama oleh James Patterson dan Gabrielle Charbonnet. Buku ini bukanlah buku yang sangat lama, dicetak pada tahun 2010 tetapi harganya cuma RM5!

Saya sudah lama tidak membaca novel sebenarnya tetapi seharian di Seremban, duduk di bilik hotel, saya cuma membaca novel ini. 'Sundays at Tiffany's' mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Jane yang mempunyai rakan imaginasi bernama Michael. Apabila Jane berumur 10 tahun, Micheal terpaksa meninggalkan Jane kerana katanya memang menjadi rakan imaginasi kepada kanak-kanak; apabila kanak-kanak sudah berumur 10 tahun, mereka perlu meninggalkan kanak-kanak tersebut.

Apabila Jane meningkat dewasa dia bertemu kembali dengan Micheal yang dewasa. Pelik bukan? Michael adalah rakan imaginasi tetapi Michael juga meningkat dewasa seperti manusia. Bertambah pelik, Michael ketika dewasa boleh dilihat oleh manusia lain tapi mungkin ketika 'bertugas' sahaja Michael tidak dapat dilihat tetapi pada waktu 'cuti' dia boleh dilihat. :p

Apa pun, kehadiran Michael buat kali kedua mengubah hidup Jane.

Penulis memasukkan elemen magis dalam kisah ini membuatkannya lain berbanding novel romantik yang lain. Bahasa yang digunakan mudah difahami dan bersahaja membuatkan saya seronok meneruskan pembacaan saya. Cuma, watak Hugh (kekasih Jane yang gilakan nama dan populariti) dapat dijangka tindakan dan niatnya dengan mudah. Mungkin ciri-ciri tipikal seorang artis yang ingin meraih nama memang sering digambarkan begitu dalam kisah-kisah lain.

Novel ini memang seronok dibaca! Usai membaca, bolehlah tonton filem 'Sundays at Tiffany's' pula. :)





Jane Austen dan 'Pride and Prejudice'

Saya sudah memiliki salah satu fiksyen romantik karya Jane Austen, 'Pride and Prejudice' cuma belum pernah membacanya (membaca beberapa helai tidak dikira membaca buku!) walaupun sudah beberapa kali menonton filem 'Pride and Prejudice' (2005) yang dilakonkan oleh Keira Knightly (sebagai Elizabeth Bannet) dan Matthew Macfadyen (sebagai Mr. Darcy).  Menontonnya membuatkan saya jatuh cinta kepada watak Mr. Darcy dan mengaitkan kisah hidup Elizabeth dengan diri saya. Saya menangis menonton 'Pride and Prejudice'. Adakah saya akan turut menangis membaca novelnya? (sedikit kesal pula kerana menonton filemnya sebelum novelnya!)



Atau, adakah saya yang sebenarnya terlalu terbawa-bawa dengan emosi sendiri? :D

Hari ini pula saya berkesempatan menonton 'Lost in Austen' dan sedikit daripada filem 'Becoming Jane' (adaptasi daripada buku 'Becoming Jane Austen' tulisan Jon Hunter Spencer). Tempoh hari pula saya terjumpa novel 'The Jane Austen Book Club' karya Karen Joy Fowler. Di kedai-kedai buku pula terdapat novel-novel Austen yang lain seperti 'Emma', 'Sense and Sensibility' dan 'Persuation'.

Banyak betul karya-karya Austen mahupun karya tentang Austen dan karyanya di pasaran, jadi saya kira Jane Austen merupakan seorang penulis hebat dan bijak dalam mengungkap sesuatu kejadian sehingga terasa dalam hati si pembaca sejak mula karyanya diterbitkan. Saya belum pernah betul-betul membaca karya Jane Austen, jadi harapnya tekaan saya benar selepas membaca novel 'Pride and Prejudice'. Jika dia tidak hebat, mana mungkin rumahnya di Hampshire dijadikan muzium dikenali sebagai Jane Austen's House Museum dan sebuah pusat dibuka mempamerkan kisah pengalaman beliau di Bath. Suatu hari nanti teringin juga saya menjejaki sejarah penulis ini, mungkin keinginan itu akan bawa saya ke Hampshire dan Bath, siapa tahu bukan? :)

Apa-apa pun, saya WAJIB baca 'Pride and Prejudice' dahulu!





Sedikit Sebanyak: Bumi Lestari oleh Rebecca Ilham

Bumi Lestari oleh Rebecca Ilham


Sebetulnya sebelum novel ini, saya belum pernah membaca karya kreatif Rebecca Ilham walaupun nama beliau sering dilihat sebagai penulis itu ini. Novel ini pernah menjadi pemenang ketegori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2010 jadi saya rasa ianya satu pendedahan dan permulaan yang wajar. Untung-untung jiwa saya sesuai dengan gaya penulisan beliau, bertambah peminat karya beliau nanti, bukan?

Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja perempuan bernama Amira; sayangnya dia dengan Ulu Pelangi, konflik yang melanda dirinya tatkala mengetahui bapa kepada teman rapatnya menjadi dalang pembinaan Empangan Gemawan, dan rindunya kepada kasih sayang bapanya.

Di sebalik diri seorang gadis yang tegas, ada rasa yang terpendam sehingga akhirnya, rasa itu terluah jua.

Hishamudin mendera jiwa anaknya yang tidak cukup zat kasih sayang, menghukum Amira dek kejadian masa lalu yang tidak boleh diubah lagi. Panjang mana masa yang Tuhan beri, siapa kita untuk tahu, lalu mengapa dia seperti tidak redha dengan pemergian isteri dan dua orang anak-anaknya? Hishamudin patut bersyukur, dia masih punya Amira.

Setelah tamat membaca novel ini, saya rasa novel ini masih perlu dipanjangkan sedikit ceritanya, seperti ada yang tertinggal kerana saya rasa tidak puas membacanya, Bumi Lestari 2 mungkin?



Sedikit Sebanyak: King of the Sea oleh Dina Zaman



King of the Sea by Dina Zaman

Sebetulnya, saya belum pernah membaca buku Dina Zaman sebelum ini walaupun saya pernah mendengar tentang buku beliau 'I Am Muslim'.

Buku ini merupakan kompilasi sembilan cerpen oleh Dina Zaman. Kebanyakannya berkisar tentang orang kampung dan saya kira penulis mungkin terbayangkan kampung beliau dan penduduknya ketika menulis cerpen-cerpen tersebut. Ada kisah-kisah yang pelik di dalam buku ini tetapi itulah kehidupan, penuh warna-warni. Contohnya kisah isteri Ipeng, Mandak yang ingin menjadi malaikat yang boleh terbang. Kali pertama membacanya, saya terfikir, wujudkah orang seperti Mandak? Namun, jika difikirkan balik, di luar sana mungkin wujud orang yang mindanya sedikit bercelaru begitu. Otak masih menjadi misteri buat para saintis bukan? Hanya Tuhan yang tahu apa terkandung dalam minda kita.

Cerpen yang saya rasa sangat 'comel' bertajuk 'Nah the Masseur' dan 'Alia' adalah sangat pelik, entah macam mana ibubapa Ali percaya yang anak perempuan mereka sudah bertukar menjadi seekor ayam?

Jika anda mencari bahan bacaan yang santai, bacalah buku ini. Jika anda mencari bahan bacaan yang terkandung pengajaran, baca juga buku ini tapi bacalah yang tersirat, dan tafsirkanlah dengan minda yang terbuka.



Sedikit Sebanyak: KO KB KU KL oleh Fadli Al-Akiti

KO KB KU KL oleh Fadli Al-Akiti

Kisah manusia terjumpa cinta. Kadang cinta bukan dicari, namun tetap datang. Khunsa atau berjantina nyata, tetap atau sering lari (dek dikejar musuh merata), patuhi Tuhan atau tidak, cinta itu pasti ada (ya, kerana Tuhan itu tidak kejam).

Luwi, bagi saya seorang hamba Allah yang baik, baik sebagai seorang khunsa, atau seorang perempuan. Ya, Luwi seorang khunsa tetapi tanggungjawabnya sering dilunaskan, bukan dilepaskan. Dan dia tetap di KB.

Berbeza dengan Mod yang sering lari, menyangka lari adalah penyelesaian, sedangkan itu menjelekkan masalah. Pelarian Mod diakhiri dek cinta buat manusia, ah, agaknya berapa lama Mod mampu bertahan? Jika Shana menghindari, masihkah Mod tetap di KL? Atau pulangkah dia ke KB nanti?

Apa pun, tahniah buat Fadli Al-Akiti kerana berjaya menghasilkan novelet cinta ini. Dan saya suka, kerana novelet cinta ini bukan tentang kisah cinta biasa seperti dalam novel-novel cinta lain.

Cuma, bahasanya buat saya sedikit pening.



Sedikit Sebanyak: Kelab Da Vinci oleh Nazry Salam


Sudah lama saya hendak menulis tentang novel pertama karya Nazry Salam ini. Tuan Nazry, maaf berjuta-juta lemon saya pohon kerana sudah berbulan-bulan, baru sekarang saya sempat menunaikan janji saya.

Nazry Salam, yang saya kenal asalnya seorang pelukis komik, rupa-rupanya turut berbakat menulis novel! Kagum sungguh saya!

Novel pertama beliau ‘Kelab Da Vinci’ terbitan PTS One menceritakan tentang seorang pelajar baru sekolah Sri Perdana bernama Nizam. Dia memilih untuk menyertai Kelab Melukis yang rupa-rupanya hanya disertai oleh 6 orang termasuk dirinya sendiri! Kelab Melukis juga tidak mempunyai guru penasihat dan dianggap tidak cemerlang sehingga Tuan Pengetua ingin membubarkan kelab tersebut. Bagi menyelamatkan Kelab Melukis, ahli-ahli kelab tersebut bertemu Tuan Pengetua.

Tindakan berani mereka membuatkan pembubaran ditarik balik tetapi terdapat syart-syarat yang perlu dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan. Jika mereka gagal melaksanakan syarat-syarat tersebut, Kelab Melukis akan dibubarkan secara automatik. Untuk mengetahui apa syarat-syaratnya dan apa tindakan ahli-ahli Kelab Melukis untuk memenuhi syarat-syarat yang diberkan itu, bolehlah baca novel ‘Kelab Da Vinci’.

Dari segi penceritaan, ianya santai dan menyeronokkan, terutamanya untuk pembaca remaja. Saya kira, itu elemen penting jika ingin mereka merasa seronok membaca, seterusnya memahami jalan cerita yang telah disusun penulis.

Setiap jalan cerita mempunyai mesej tersendiri. Di dalam novel ini, banyak mesej nilai-nilai murni yang ingin disampaikan. Dengan jalan cerita yang santai, mesej tersebut mampu disampaikan kepada remaja yang sememangnya gemar dengan perkara santai. Bagus bukan? Membaca bukan sahaja mengisi masa lapang, tetapi mempelajari perkara-perkara baru walaupun di dalam sebuah novel.

Sebagai seorang penulis baru yang menulis novel remaja, bagi saya novel ini bagus. Dan, saya suka lukisan watak-watak yang diselitkan di dalam novel ini. Teruskan menulis (dan melukis) Nazry! Ganbatte!

Jika anda ingin membeli novel ini secara 'online' boleh ke kedai buku online PTS, Book Cafe.



Sedikit Sebanyak: Tunjuk Langit Cinta oleh Shahrizad Shafian


Tunjuk Cinta Langit. Membaca tajuknya sahaja membuatkan saya tertarik membelek buku tersebut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011) tempoh hari. Tajuknya membayangkan kecintaan kepada sesuatu yang berada di langit, dan kepada saya, langit mencerminkan kebebasan yang luas dan mendamaikan.

Sebenarnya sekarang saya kurang minat membaca novel kisah cinta romantis, kisah yang membuat pembaca dibuai perasaan yang lalai berbanding ketika saya masih di bangku sekolah. Kebanyakkan novel yang saya baca berupa kisah benar, penyiasatan atau tentang kehidupan manusia yang tidak berkisar tentang cinta sesama manusia semata-mata. Disebabkan itu, ketika PBAKL 2011, saya tidak banyak membelek novel (kecuali novel-novel Pak Talib, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, Faisal Tehrani dan Bahruddin Bekri) tetapi novel yang satu ini membuatkan saya berhenti lama di depan gerai jualan, membelek-belek novel sulung Shahrizad Shafian (beliau juga dikenali sebagai Ngajad) berulang kali walaupun penulisnya tidak saya kenali.

Hari pertama membaca novel ini, saya seakan-akan tidak mahu berhenti membaca walaupun mata sudah mengantuk. Tunjuk Langit Cinta (TLC) mengisahkan tentang seorang siswi bernama Seri Hanum yang belajar di luar negara dihantar pulang ke kampung halaman selepas terlibat dengan kecelakaan jalan raya sehingga dia lupa ingatan.

Sepanjang berada di kampung, Seri Hanum dijaga rapi oleh Mak Norma, Abang Ros, Tan dan Jak dengan penuh kasih sayang dengan penerapan nilai-nilai Islam, yang, tanpa mereke sekeluarga sedari, berbeza daripada nilai-nilai yang diamalkan oleh Seri Hanum dan kekasihnya di luar negara.

Sembilan bulan kemudian, kekasih hati Seri Hanum bernama Fahrin Kamil pulang ke kampung halaman. Dia membawa pulang barangan Seri Hanum yang tertinggal di UK dan cuba memenangi kembali hati Seri Hanum walaupun Seri Hanum belum berupaya mengingatinya. Setelah sekian lama, makin didekati, makin Seri Hanum menjauhi kekasihnya sehingga Abang Ros dituduh menghalang hubungan cinta yang terbina bertahun-tahun lamanya. Benarkah tuduhan Fahrin Kamil terhadap Abang Ros, atau adakah Fahrin Kamil hanya salah sangka?

Wahhh… terasa mahu menceritakan semua sekali tetapi hilanglah keseronokan membaca nanti buat mereka yang belum membaca atau belum khatam novel ini, bukan? *sengeh*

Apa-apa pun, saya berpuas hati membaca novel ini kerana ia bukan kisah cinta biasa. Bagi saya, kisah ini memaparkan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, yang kemudian, mencintai-Nya kembali. Penggunaan bahasa yang senang difahami dengan jalan cerita yang santai membuatkan saya seronok membaca novel ini sehingga ke penghujung kisah. Alhamdulillah, TLC adalah novel cinta Islamik terbaik saya pernah baca. Syabas buat Kak Sha!



Sedikit Sebanyak: Aku Mahu Ke New York 1 & 2 oleh Ain Maisarah

Hai! Kali ini saya agak 'gedik', seolah-olah saya adalah salah seorang daripada ahli The Wannababes daripada sekolah Sri Bangsar (yang mungkin dibatalkan keahlian sebaik sahaja mereka melihat baju saya bukan datang daripada butik berjenama antarabangsa!).

 

Mula-mula, biar saya terangkan kenapa saya membeli buku ini. Hehe.. Ketika saya sedang mencari buku untuk dibeli di BookCafe, saya terjumpa judul ini. Melihatkan judulnya, mengingatkan saya kepada janji saya dan sahabat baik saya ketika saya berada di Leeds dahulu. Kami berjanji akan ke New York bersama-sama, yang pasti dia ingin menempa nama dalam bidang perekaan fesyen di sana. Saya pula? Mahu jadi macam Peter Parker agaknya! We were teenagers and we built dreams and hopes so big that now I don't know whether they would come true or not.

Mereka yang sudah biasa membaca buku daripada Ain Maisarah tentu kenal siapa The Wannababes and how mean they are to other people. Mereka pentingkan diri sendiri dan hanya bercampur dengan orang yang 'seperti mereka' sahaja - a bunch of rich kids, who only wear expensive stuff, go for vacations overseas, always get what they want - kesimpulannya, kehidupan yang tidak mencabar dan membosankan!

Kali ini, The Wannababes mahu ke New York. Diana dan Sazzy terdengar cikgu mereka berbual mengenai program pertukaran pelajar ke New York. Kesemua ahli The Wannababes mahu turut serta sehingga sanggup buat apa sahaja bagi mendapatkan tempat ke New York. Mereka amat gelojoh  dan bodoh sombong sebenarnya - mendengar sahaja perkataan 'New York' mereka sudah cukup gembira tetapi mereka tidak bertanya lebih lanjut mengenai program tersebut.

Apabila tiba di tempat pertukaran pelajar, barulah mereka tahu apa yang mereka perlu hadapi. Mereka bakal tinggal di dalam hutan selama sebulan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air paip di rumah. New York ada hutan dan masih ada tempat tanpa bekalan elektrik dan air paip? Betul ke? Haa... itu kenalah baca sendiri, tak seronok lah kalau saya ceritakan semua kan? *wink*

Anyway, pada akhir cerita (Aku Mahu Ke New York 2), Fasha iaitu ketua kumpulan The Wannababes membuktikan yang dia tidaklah teruk sangat sehingga sanggup membeli kasut Crocs untuk semua penduduk di 'New York' dan menghantar kasut-kasut tersebut all the way from Kuala Lumpur!

Tetapi, saya tetap rasa ada bahagian cerita ini tidak logik. Ayah Fasha menghantar orang untuk memasukkan bekalan air dan elektrik ke rumah tempat Fasha dan kawan-kawannya menginap tetapi kesemua itu dapat dimasukkan dalam masa beberapa hari sahaja. Macam tak logik je! Atau mungkin orang kaya boleh buat apa sahaja dengan duit mereka, even mempercepatkan sesuatu perkara yang biasanya sukar disiapkan? Entahlah...



Sedikit Sebanyak: Saga Horizon oleh Fadli Al-Akiti


Kali ini jom kita usha buku Sai-Fai pula. Apa dia Sai-Fai? Sai-Fai adalah singkatan untuk Fiksyen Sains Fantasi (rujuk Sai-Fai.com). Sudah lama rasanya saya tidak membaca novel Sai-Fai sehinggalah penulis, Fadli al-Akiti memberikan saya sebuah novel karya beliau sendiri, Saga Horizon.

Novel ini mengisahkan keadaan huru-hara di Bumi pada tahun 3024 A.D. Manusia yang menjadi tuan, kini sering takut dan bimbang dimusnahkan oleh Jembalang Bertulang Besi. Askar-askar upahan berjuang habis-habisan bagi memerangi Jembalang Bertulang Besi. Askar-askar tersebut ada yang mengambil pil Selatin bagi mengurangkan rasa ketakutan mereka terhadap Jembalang Bertulang Besi atau dikenali juga sebagai jembalang Lepoh, si lembap, zombi besi atau sang perlahan.

Di kalangan askar-askar upahan tersebut, terdapat seorang yang bernama Rogue yang kasar dan mempunyai mata yang tajam seperti seekor burung Helang. Dia menjadi askar upahan demi membalas dendam terhadap jembalang-jembalang yang telah membunuh datuknya, Datuk Thompson yang kemudiannya membunuh adik angkatnya Marc.

Dalam pada itu, Rogue dicari Jafni, salah seorang pengikut setia wali srikandi yang digelar Ummi kerana Rogue dilihat sebagai manusia yang mampu menghapuskan ASAIN dan menamatkan malapetaka pada zaman tersebut.

Saya suka novel ini kerana saya dapatnya secara percuma dan penulisnya yang beri! Haha! Bukan... itu sebab yang terakhir, tetapi terima kasih ya Fadz sebab bagi buku kepada saya, Lyn dan Yue. Saya suka jalan ceritanya dan sepanjang membaca novel ini minda saya seolah-olah menayangkan filem seperti di GSC. Saya dapat membayangkan keseluruhan keadaan cerita ini kerana penulisnya telah menceritakannya dengan baik. Syabas Fadz! Looking forward to read some more of his work.



Sedikit Sebanyak: Doa Untuk Aku oleh Bahruddin Bekri

Akhirnya! Dapat juga saya sudahkan pembacaan novel Doa Untuk Aku karya Bahruddin Bekri, terbitan PTS One.

Novel ini mengisahkan seorang lelaki bernama Adly yang berasal daripada kawasan pedalaman di Sarawak yang kehilangan bapa dan kematian ibu. Sewaktu ibunya masih hidup, Adly berjaya lulus di dalam pelajaran. Dia percaya yang doa ibunya makbul, dan kerana itulah juga, sejak ibunya meninggal dunia, dia sering gagal di dalam peperiksaannya di Universiti Kuching.

Disebabkan doa, dia pergi bertanya kepada Jefri tentang doa-doa yang makbul dan Adly memulakan pencarian 40 doa daripada orang-orang yang makbul doa mereka. Dia menghantar e-mel kepada mereka yang tidak dikenali, dan selepas ahli kumpulan akademiknya Amin Bin Demit tahu mengenai misi Adly, mereka bersetuju membantu Adly mencari 40 doa tersebut. Disepanjang misinya, Adly bertemu dengan orang daripada latar belakang yang berbeza dengan kisah hidup yang menarik (dan lucu juga kot!), yang akhirnya membawa Adly kepada misteri kehilangan ayahnya.

Kalau nak tahu lagi kisahnya, sila dapatkan buku ni dan baca sendiri. Hehe. Novel ini, kalau dibandingkan dengan novel Dunia Ini Sederhana Kecil daripada penulis yang sama, saya lebih suka Dunia Ini Sederhana Kecil - tetapi kelakarnya tetap sama, maklumlah, penulisnya pun sama. Saya rasa Tuan Bahruddin Bekri seorang individu yang lucu juga. Betul ke?

Kisah ini sebenarnya membuatkan saya terfikirkan kuasa doa. Kebanyakkan masa kita acuh tak acuh menadah tangan berdoa, selepas itu kalau Tuhan tidak makbulkan doa kita, kita marah (sampai ada yang bilang Tuhan tidak adil, nauzubillah!). Padahal Tuhan itu Maha Mengetahui, kalau kita berdoa dengan bersungguh-sungguh insya-Allah pasti Tuhan akan bantu kita. Jika doa kita tidak dimakbulkan sekarang pun, pasti ada hikmahnya. Tuhan itu perancang yang hebat, maka usah ragu. Dan ya, kita juga perlu berusaha. Kalau berdoa tetapi tiada usaha dan hanya menunggu keajaiban, saya tidak tahu bila doa anda akan makbul!



Sedikit Sebanyak: Karipap-karipap Cinta oleh Nazri M. Annuar

Siapa pernah makan 'karipap cinta'? Mahu resepinya?

Bahan-bahannya adalah tiga ulas rasa suka, satu botol hati gembira, satu biji rendah diri (saiz besar), dua cawan tolak ansur, lima keping kehormatan, secubit rasa rindu, tiga batang tanggungjawab (dipotong halus), tiga bekas cita-cita dan sepuluh guni kejujuran (diayak untuk membuang kata dusta). Cara-cara membuatnya ialah, mula-mula ramuan-ramuan tersebut perlulah diadun dengan ilmu dan akal. Masukkan semua ramuan yang telah diadun tadi ke dalam kuali persahabatan, tunggu sehingga masak. Setelah masak, hidangkan bersama yang tersayang.

Amacam? Boleh buat? Tidaklah susah mana kan? Hehe.


Buku 'Karipap-karipap Cinta' ni karya Nazri M. Annuar dan kulit bukunya menarik, direka macam cover DVD. Novel tersebut mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Ali yang suka buat kesimpulan tanpa usul periksa dan telah membuat pembohongan yang besar untuk memikat seorang gadis bernama Sarah yang pandai membuat karipap yang sedap.

Jalan cerita Karipap-karipap Cinta adalah santai, sesuai dibaca oleh setiap lapisan umur. Ada sedikit aksi, ada kisah cinta, ada juga babak yang lucu dan menggelikan hati. Semua diadun jadilah kisah sebuah kehidupan (eh?). Oh ya, sebelum mula membaca, pastikan rentak lagu 'Ayat-ayat Cinta' nyanyian Rossa sudah diingat. Baca buku ini, nanti anda tahu *wink*

Haa.. walaupun Ali ni macam kalut, tapi dia ada peminat tau! Peminat yang suka memasak untuk Ali. Hehe.. mahu tahu kisahnya, silalah baca sendiri. Tidak lama lagi mungkin keluar filem Karipap-karipap Cinta, siapa yang malas membaca tu, boleh menonton ceritanya nanti - tapi pendapat saya, perasaan membaca dan menonton sesebuah cerita itu berbeza dan saya lebih suka membaca dahulu kisah yang dijadikan filem - minda saya lebih aktif ketika membaca kerana ketika membaca, sudah tentu saya akan membayangkan apa yang dibaca - itu dapat membantu saya jadi lebih kreatif. Itu pendapat saya. Kalau mahu tengok gambar-gambar behind the scene Karipap-karipap Cinta, boleh ke blog Karipap-karipap Cinta (d'movie).



Sedikit Sebanyak: Gadis-gadis Kota Riyadh oleh Rajaa Alsanea

Berpuasa sudah. Berhari raya pun sudah. Kebanyakkan kita sudah ramai yang kembali bekerja dan menjalani rutin harian. Saya juga sudah. Semoga semua semakin ceria selepas Ramadhan.

Hari ini saya mahu berkongsi tentang buku yang saya sudah beberapa bulan mula membaca tetapi baru sahaja selesai menghabiskan pembacaan baru-baru ini: Gadis-gadis Kota Riyadh karya Rajaa Alsanea. Penulis merupakan seorang berbangsa Arab (saya kira, daripada golongan bangsawan Arab), yang membesar di Riyadh, tetapi kini menetap di Chicago.


Buku ini pertama kali diterbitkan di dalam bahasa Arab di Beirut pada tahun 2005 dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 2007 dan ke dalam bahasa Melayu pada tahun 2010. Novel ini telah diharamkan di Arab Saudi kerana kandungannya yang dianggap memalukan masyarakat Arab, khususnya golongan bangsawan Arab di Arab Saudi.

Novel ini menceritakan kisah empat sahabat dari kalangan bangsawan Arab yang melanggar adat resam masyarakat mereka. Kisah mereka diceritakan oleh seorang pencerita melalui e-mel yang dikirim pada setiap hari Jumaat. Pengirim e-mel tersebut tidak bernama dan kisah-kisah yang dipaparkan mengundang pelbagai reaksi pembaca; ada yang menyokong dan tidak sabar-sabar menunggu sambungan kisah empat sahabat tersebut, dan ada juga yang mencemuh dan mengugut kerana tidak suka dengan perlakuan yang diceritakan di dalam e-mel yang diterima.

Apa yang saya lihat melalui apa yang saya baca di dalam novel ini, masyarakat Arab juga tidak kurang bezanya dengan kita masyarakat Melayu di Malaysia ini. Kita keliru antara kebiasaan budaya dan agama. Dan apabila seseorang melanggar sesuatu kebiasaan, dia dianggap tidak baik walaupun ianya tidak melanggar peraturan agama. Walaupun begitu, ada juga orang yang melanggar sesuatu kebiasaan, tetapi melanggar batas-batas agama. Maka, saya rasa kita perlu faham bahawa definisi baik dan buruk itu perlulah berasaskan kata-kata Tuhan (jika untuk orang Islam, sudah tentulah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah) dan bukan sekadar apa yang masyarakat biasa lakukan.

Yang bagus tentang buku ini ialah saya dapat belajar tentang budaya masyarakat Arab (yang mungkin tidak diketahui sehinggalah kita hidup dalam masyarakat mereka sendiri). Tetapi saya tidak rasa kisah-kisah di dalam novel ini menarik. Semuanya berkisar tentang cinta perempuan dan lelaki. Kisah-kisah biasa. Kisah-kisah yang mencerminkan kecenderungan manusia menjadi lupa diri apabila dilamun cinta. Cuma berlatarkan masyarakat Arab. Mungkin bukan genre yang benar-benar menarik minat saya.

Kalau mahu dapatkan buku ini booQC ada menjualnya secara online. Saya pernah membelinya di Kinokuniya untuk seorang sahabat saya dan saya pula membelinya di kedai buku di Giant Batu Caves untuk simpanan saya. Jika mahu membacanya, selamat membaca!



Sedikit Sebanyak: Rooftop Rant oleh Hlovate

Rooftop Rant oleh Hlovate

“There’re times when strangers are like family, and family are like strangers.”

Terkini saya sedang membaca novel 'Rooftop Rant' oleh Hlovate.

Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja perempuan bernama Batrisya, yang juga dikenali sebagai Trisy, dan seorang remaja lelaki bernama Jade, atau nama sebenarnya Zaid. Mereka berdua berkongsi masalah yang sama- mereka rasa seperti tiada orang peduli tentang mereka, terutamanya keluarga mereka yang sepatutnya bukan seperti orang asing buat mereka.

Mereka pertama kali bertemu di bumbung Wisma Topaz berhampiran pusat tuisyen Trisy. Ketika sepatutnya dia masuk kelas tuisyen, Trisy melepak di bumbung bangunan di mana dia bertemu dengan Jade.

Dari hanya orang asing, mereka semakin rapat apabila berkongsi rasa sunyi yang sama dan saling memberi sokongan kepada satu sama lain yang selama ini mereka harapkan dari keluarga masing-masing.

Sejauh mana hubungan mereka selepas itu? Bacalah dulu, baru tahu hehe!



Sedikit Sebanyak: Ku Seru NamaMu Kekasih oleh Maya Iris

Ku Seru NamaMu Kekasih oleh Maya Iris

Sehari sebelum Syawal, saya pulang ke Kota Bharu, berhenti di Jaafar Rawas dan ternampak buku bertajuk 'Ku Seru NamaMu Kekasih' ditulis oleh Maya Iris. 

Kisahnya adalah mengenai seorang perempuan bernama Rayyan yang merupakan seorang Muslimah yang belajar di Australia. Rayyan tinggal bersama tiga orang perempuan yang lain, salah seorang dari mereka adalah seorang tomboy.

Zaim, seorang lelaki yang menyukai Rayyan namun telah berkahwin dengan tomboy yang tinggal bersama Rayyan setelah tomboy tersebut menerima kenyataan dia adalah seorang wanita disebabkan Rayyan.

Rayyan pula telah mengahwini seorang warga Australia yang merupakan anak kepada seorang paderi setelah paderi tersebut membuatkan hidup Rayyan sukar.

Kasihan Rayyan! Rayyan sungguh kuat imannya dan bukan mudah mencari perempuan seperti Rayyan sekarang. Moga Allah sentiasa merahmati para 'Rayyan' di luar sana.



Hubungi Saya

Name

Email *

Message *

Statistik