Tunjuk Cinta Langit. Membaca tajuknya sahaja membuatkan saya tertarik membelek buku tersebut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011) tempoh hari. Tajuknya membayangkan kecintaan kepada sesuatu yang berada di langit, dan kepada saya, langit mencerminkan kebebasan yang luas dan mendamaikan.
Sebenarnya sekarang saya kurang minat membaca novel kisah cinta romantis, kisah yang membuat pembaca dibuai perasaan yang lalai berbanding ketika saya masih di bangku sekolah. Kebanyakkan novel yang saya baca berupa kisah benar, penyiasatan atau tentang kehidupan manusia yang tidak berkisar tentang cinta sesama manusia semata-mata. Disebabkan itu, ketika PBAKL 2011, saya tidak banyak membelek novel (kecuali novel-novel Pak Talib, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, Faisal Tehrani dan Bahruddin Bekri) tetapi novel yang satu ini membuatkan saya berhenti lama di depan gerai jualan, membelek-belek novel sulung Shahrizad Shafian (beliau juga dikenali sebagai Ngajad) berulang kali walaupun penulisnya tidak saya kenali.
Hari pertama membaca novel ini, saya seakan-akan tidak mahu berhenti membaca walaupun mata sudah mengantuk. Tunjuk Langit Cinta (TLC) mengisahkan tentang seorang siswi bernama Seri Hanum yang belajar di luar negara dihantar pulang ke kampung halaman selepas terlibat dengan kecelakaan jalan raya sehingga dia lupa ingatan.
Sepanjang berada di kampung, Seri Hanum dijaga rapi oleh Mak Norma, Abang Ros, Tan dan Jak dengan penuh kasih sayang dengan penerapan nilai-nilai Islam, yang, tanpa mereke sekeluarga sedari, berbeza daripada nilai-nilai yang diamalkan oleh Seri Hanum dan kekasihnya di luar negara.
Sembilan bulan kemudian, kekasih hati Seri Hanum bernama Fahrin Kamil pulang ke kampung halaman. Dia membawa pulang barangan Seri Hanum yang tertinggal di UK dan cuba memenangi kembali hati Seri Hanum walaupun Seri Hanum belum berupaya mengingatinya. Setelah sekian lama, makin didekati, makin Seri Hanum menjauhi kekasihnya sehingga Abang Ros dituduh menghalang hubungan cinta yang terbina bertahun-tahun lamanya. Benarkah tuduhan Fahrin Kamil terhadap Abang Ros, atau adakah Fahrin Kamil hanya salah sangka?
Wahhh… terasa mahu menceritakan semua sekali tetapi hilanglah keseronokan membaca nanti buat mereka yang belum membaca atau belum khatam novel ini, bukan? *sengeh*
Apa-apa pun, saya berpuas hati membaca novel ini kerana ia bukan kisah cinta biasa. Bagi saya, kisah ini memaparkan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya, yang kemudian, mencintai-Nya kembali. Penggunaan bahasa yang senang difahami dengan jalan cerita yang santai membuatkan saya seronok membaca novel ini sehingga ke penghujung kisah. Alhamdulillah, TLC adalah novel cinta Islamik terbaik saya pernah baca. Syabas buat Kak Sha!
1 comment:
Menarik! Mahu masuk wishlist
Post a Comment