Ini bukan mimpi. Ini realiti.

Tempoh hari sedang saya bersenangan di rumah (dengan minda yang tidak berapa senang!) adik saya memberikan saya sampul surat yang berisi. Di depannya tertulis 'Encik Engku Nurul Huda'. Encik? Hehe... saya tidak sekali-kali ingin menukar jantina! :P

Saya dapat mengagak isi kandungan sampul tersebut. Majalah Wadah Siswa! Sejak setahun yang lalu saya telah menghantar beberapa ulasan buku yang saya tulis. Asalnya saya sekadar menulis ulasan buku di laman Goodreads dan di blog ini di bawah ruangan 'Sedikit-Sebanyak'. Tidak sangka pula ada yang membaca dan mempelawa saya menulis. Terima kasih di atas peluang yang diberi. Saya sangat menghargainya! :)


Tidak boleh saya katakan saya berpuas hati dengan setiap yang saya tulis tetapi saya sering mencari ruang untuk memperbaiki penulisan saya. Sekali sekala ada juga saya bertanya kepada seorang kakak yang pernah menjadi editor majalah tentang kekurangan penulisan saya. Pernah katanya ada rempah yang kurang. Saya terima dengan senang hati kerana saya juga rasa belum cukup enak.

Buat anda yang pernah membaca ulasan yang saya tulis di sini, laman Goodreads mahupun di majalah Wadah Siswa sendiri, saya sangat menghargainya jika anda sudi menitipkan komen membina buat saya. Semoga dengan ulasan yang saya buat, dapat menarik lebih ramai di luar sana untuk membaca dan dapat memberi ruang kepada penulis dan penerbit buku memperbaiki mutu penghasilan bahan bacaan tempatan khususnya.

Saya mohon doa semua supaya banyak kebaikan yang terhasil melalui apa yang saya tulis. Terima kasih. :)

Nota: Dulu hanya melihat nama orang lain terpapar di majalah.



Sedikit Sebanyak: Langit Vanilla oleh Wani Ardy

Langit Vanilla


Penuh drama. Ada kaitan dengan drama hidup saya- BANYAK. Tersentuh lalu terkeluar air mata- pun BANYAK. Membaca dan terfikirkan beberapa orang, lalu senyum sinis- ADA. Membaca dan terfikirkan beberapa orang, lalu rindu- BANYAK.

Pelbagai mainan rasa, tapi tulus, ada menusuk dan ada mengetuk lembut ke hati. Membaca buku ini seolah dibawa mengenali Wani Ardy, atau... sebenarnya diri sendiri? Kerana usai membaca setiap nukilan, ada sejarah dan ada insan dalam hidup ini yang singgah bertamu dalam minda, ada muhasabah diri dibuat, lalu makin kenal diri sendiri.

Sangat suka 'Lelaki Unggul'. Banyak kali ulang. Banyak kali menitis air mata. Makin kuat sayang buat ayahanda. Makin syukur dengan nikmat ada lelaki itu di belakang menyokong.

Pertama kali membaca tulisan Wani Ardy, dan terus kagum!



Sedikit Sebanyak: Sundays at Tiffany's oleh James Patterson dan Gabrielle Charbonnet

Awal bulan ini saya mengikuti ayah saya ke Seremban. Memandangkan waktu kami tiba di Seremban, bilik penginapan kami belum tersedia dan ayah saya ada urusan kerja, jadi saya dan adik saya ditinggalkan sebentar di Seremban Parade.

Selepas puas duduk di kedai mamak, kami jalan-jalan di dalam Seremban Parade, kemudian kami terjumpa kedai yang menjual buku-buku terpakai. Kedainya ringkas, dan cuma ditutup dengan kain, bertentangan dengan kedai The Chicken Rice Shop. Saya memang tak punya banyak duit waktu itu tetapi dek kerana melihat ada buku, saya masuk kedai tersebut, membelek-belek beberapa buah buku. Tidak banyak yang betul-betul menarik minat saya tapi di hujung rak, saya terjumpa buku 'Sunday's at Tiffany's' yang ditulis bersama oleh James Patterson dan Gabrielle Charbonnet. Buku ini bukanlah buku yang sangat lama, dicetak pada tahun 2010 tetapi harganya cuma RM5!

Saya sudah lama tidak membaca novel sebenarnya tetapi seharian di Seremban, duduk di bilik hotel, saya cuma membaca novel ini. 'Sundays at Tiffany's' mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Jane yang mempunyai rakan imaginasi bernama Michael. Apabila Jane berumur 10 tahun, Micheal terpaksa meninggalkan Jane kerana katanya memang menjadi rakan imaginasi kepada kanak-kanak; apabila kanak-kanak sudah berumur 10 tahun, mereka perlu meninggalkan kanak-kanak tersebut.

Apabila Jane meningkat dewasa dia bertemu kembali dengan Micheal yang dewasa. Pelik bukan? Michael adalah rakan imaginasi tetapi Michael juga meningkat dewasa seperti manusia. Bertambah pelik, Michael ketika dewasa boleh dilihat oleh manusia lain tapi mungkin ketika 'bertugas' sahaja Michael tidak dapat dilihat tetapi pada waktu 'cuti' dia boleh dilihat. :p

Apa pun, kehadiran Michael buat kali kedua mengubah hidup Jane.

Penulis memasukkan elemen magis dalam kisah ini membuatkannya lain berbanding novel romantik yang lain. Bahasa yang digunakan mudah difahami dan bersahaja membuatkan saya seronok meneruskan pembacaan saya. Cuma, watak Hugh (kekasih Jane yang gilakan nama dan populariti) dapat dijangka tindakan dan niatnya dengan mudah. Mungkin ciri-ciri tipikal seorang artis yang ingin meraih nama memang sering digambarkan begitu dalam kisah-kisah lain.

Novel ini memang seronok dibaca! Usai membaca, bolehlah tonton filem 'Sundays at Tiffany's' pula. :)





Hubungi Saya

Name

Email *

Message *

Statistik