Showing posts with label Non-Fiction. Show all posts
Showing posts with label Non-Fiction. Show all posts

Sedikit Sebanyak: Langit Vanilla oleh Wani Ardy

Langit Vanilla


Penuh drama. Ada kaitan dengan drama hidup saya- BANYAK. Tersentuh lalu terkeluar air mata- pun BANYAK. Membaca dan terfikirkan beberapa orang, lalu senyum sinis- ADA. Membaca dan terfikirkan beberapa orang, lalu rindu- BANYAK.

Pelbagai mainan rasa, tapi tulus, ada menusuk dan ada mengetuk lembut ke hati. Membaca buku ini seolah dibawa mengenali Wani Ardy, atau... sebenarnya diri sendiri? Kerana usai membaca setiap nukilan, ada sejarah dan ada insan dalam hidup ini yang singgah bertamu dalam minda, ada muhasabah diri dibuat, lalu makin kenal diri sendiri.

Sangat suka 'Lelaki Unggul'. Banyak kali ulang. Banyak kali menitis air mata. Makin kuat sayang buat ayahanda. Makin syukur dengan nikmat ada lelaki itu di belakang menyokong.

Pertama kali membaca tulisan Wani Ardy, dan terus kagum!



Sedikit Sebanyak: Travelog Rabak oleh Mohd Jayzuan, Shima Scarlett & Seyn


Buku ini menampilkan tiga orang penulis; Mohd Jayzuan, Shima Scarlett dan Seyn, ketiga-tiganya merupakan karyawan Projek Rabak (please google them to find out more or read this book) dan berpeluang mengembara bersama jasa RM1,000 yang bos Sang Freud Press bagi untuk mereka hasilkan travelog ini. Kembara mereka kali ini membawa mereka ke tempat-tempat sekitar Pantai Timur Semenanjung Malaysia (and again, if your Geography sucks, google that!).

Mohd Jayzuan, sebelum ini saya pernah membaca tulisan beliau, '28 Hari: Jurnal Rock N Roll'. Saya rasa tulisan beliau dalam buku kali ini kurang umphhhh, seperti hilang keikhlasan menulis. Shima pula, ini kali pertama saya membaca tulisan beliau, saya rasa ok-lah, not bad. Seyn, I just love this guy's writing! The way he describes things shows how he observe his surrounding, and a real writer should observe carefully, sebab pembaca tak nampak apa yang penulis ingin sampaikan, jadi jika setiap perkara diterangkan dengan baik (which comes from detail observation and suitable vocab used), pembaca senang nak follow apa yang penulis ingin sampaikan. My 2-cents lah.



Sedikit Sebanyak: 28 Hari: Jurnal Rock N Roll oleh Mohd Jayzuan


28 Hari: Jurnal Rock N Roll
oleh Mohd Jayzuan

Saiz buku ni kecik je tapi padat dengan pelajaran dalam hidup.

Duit tak ada. Kepala serabut. All you can think of is get away from the mess. I've been there, but I've never go out and travel when I was in mess. Why? I got no money man! Jadi saya tabik Mohd Jayzuan sebab berani keluar mengembara walaupun tiada duit. Dia cuma percaya rezeki ada di mana-mana, which is true.

Melalui jurnal ni, saya dari tak kenal langsung siapa Mohd Jayzuan, sudah sedikit sebanyak kenal dia. Buktinya? Saya boleh bercerita kat seseorang ni tentang Mohd Jayzuan, how he hates working in the office, how he loves Nasi Kukus Zaeman dan air jagung di kedai Mamood, and the kind of friends he has. Jadi, saya betul-betul rasa keikhlasan dia menulis buku ini.



Sedikit Sebanyak: Mudahkan Jangan Susahkan oleh Syed Alwi Alatas



Mudahkan Jangan Susahkan oleh Syed Alwi Alatas

Secara fizikal, buku ini comel dan kelihatan mudah dengan kulit berwarna putih dihiasi gambar gula-gula lolipop yang berwarna-warni. Saya kira, isinya juga mudah difahami, sesuai dengan tajuk yang diberi.

Ternyata benar telahan saya. Isinya mudah dicerna (sekurang-kurangnya oleh minda saya). Hampir keseluruhan poin yang diberi, pembaca disajikan dengan kisah-kisah yang berinspirasi. Yang paling saya gemar, penulis menyelitkan kisah-kisah sekitar hidup beliau sendiri, mengaitkan perkara yang dialami dengan perkara yang dibincangkan, membuktikan penulis menulis tentang perkara yang realistik, bukan sekadar teori semata-mata.

Buku ini dibahagikan kepada sepuluh bab dan di dalam bab-bab tersebut dinyatakan beberapa keadaan susah yang sebenarnya boleh menjadi perkara mudah. Jika dalam diri kita ada mentaliti susah, pasti kita cuma nampak yang susah-susah sahaja, padahal perkara itu bukanlah susah sangat (atau sebenarnya sangat mudah!).

Di sepanjang pembacaan saya setakat ini, banyak perkara yang saya terkena jadi banyak peluang untuk saya berfikir, dan bermuhasabah.

Kerana mudahnya penyampaian buku ini, banyak yang mampu saya cerna dengan baik walaupun ketika menunggu LRT.

Sungguh. Buku ini bagus dan perlu diulang baca untuk mengingatkan diri supaya bermentaliti mudah.



Sedikit Sebanyak: The Soul of a Butterfly oleh Muhammad Ali bersama Hana Yasmeen Ali

The Soul Of A Butterfly by Muhammad Ali

Buku ini sungguh indah, seindah tajuknya. Ya, mungkin ini bukan benar-benar sebuah biografi tentang Muhammad Ali tetapi di dalam buku ini terkandung pemikiran beliau sendiri.

Tatakala beliau menyatakan bahawa beliau adalah 'The Greatest', ia mungkin pesanan beliau kepada dunia bahawa Muhammad Ali masih mampu menjadi yang terbaik dan mengalahkan mereka yang berkulit putih walaupun dia adalah seorang yang berkulit hitam. Di penghujung buku ini, Muhammad Ali menyebut bahawa Tuhan adalah yang paling hebat, dan ianya sangatlah benar. Tanpa Tuhan dan kepercayaannya kepada Tuhan, pasti beliau tidak mampu menjadi yang terbaik. Jika beliau tidak menjadi seorang peninju, beliau tetap akan melakukan yang terbaik.

Muhammad Ali, walaupun sering menyebut yang beliau hebat, telah membuktikan bahawa beliau juga adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan dalam hidup, contohnya, saat beliau berpaling dari Malcolm X dan menyakiti keluarga Joe Frazier dengan kata-katanya. Beliau menyesali perkara berikut dan meminta maaf, salah satu caranya ialah dengan menulis sajak.

Di dalam buku ini juga, kita dapat membaca beberapa buah sajak yang ditulis Muhammad Ali. Sajak-sajak beliau bukanlah yang terbaik yang pernah saya baca, tetapi jika seorang peninju mampu menulis sajak, ianya sangat hebat!

Nota: Buku ini juga dibaca untuk Bookaholics Anonymous yang diadakan setiap bulan. Jika anda berada berdekatan Setapak, KL, mari sertai perbincangan buku kami!



Sedikit Sebanyak: Urus Sendiri SOHO Anda oleh Mohd Zulfadli & Malina J.


Buku ‘Urus Sendiri SOHO Anda’ merupakan salah satu buku yang saya gemar kerana dua perkara: perkara yang dikupas dalam buku ini dan susun aturnya menarik. Buku ini ditulis oleh Mohd Zulfadli dan Malina J, terbitan PTS Professional.

‘SOHO’ merupakan singkatan untuk Small Office, Home Office dan membincangkan mengenai pengurusan SOHO supaya dapat memberi pulangan yang besar kepada pengurus SOHO. Penulis, Mohd Zulfadli, mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam bidang perniagaan dari rumah. Pengalaman yang dikutip sepanjang lebih enam tahun itu dikongsi bersama pembaca di dalam buku ‘Urus Sendiri SOHO Anda’.

Buku ini dibahagikan kepada enam bahagian. Bahagian pertama membincangkan perkara-perkara asas SOHO seperti faktor-faktor orang memilih SOHO, undang-undang berkaitan dan rancangan perniagaan. Bahagian kedua sehingga enam membincangkan tentang pengurusan pejabat dan perniagaan.

Sepanjang pembacaan, kita akan dapati beberapa jadual dan gambar rajah yang boleh memberikan gambaran jelas mengenai perkara yang dibincangkan.

Walaupun buku ini fokusnya mengenai perniagaan, penulis tidak lupa menitipkan sedikit tips dan nasihat kesihatan dan keselamatan buat usahawan SOHO kerana jika kedua-dua perkara tersebut tidak dijaga rapi, kelancaran pengurusan SOHO akan terjejas.

Buat mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, terutamanya suri rumah, buku ini sangat sesuai untuk anda.

Selamat ber’SOHO’! *wink*



Sedikit Sebanyak: Writing for Magazines oleh Lesley Bown & Ann Gawthorpe

Hampir sebulan yang lalu saya ke Bookxcess membeli buku-buku berbahasa Inggeris yang sangat murah. Salah satu buku yang dibeli adalah 'Write for Magazines' iaitu salah satu judul di dalam siri Teach Yourself ditulis oleh Lesley Bown dan Ann Gawthorpe.



Ketika mula-mula berdiri di depan rak yang penuh dengan buku-buku Teach Yourself, saya betul-betul di dalam dilema memilih judul mana yang perlu saya pilih memandangkan saya perlu berbelanja mengikut bajet yang telah diperuntukkan. Setelah beberapa kali mengambil dan meletakkan semula buku-buku yang diambil di rak buku, akhirnya saya pulang dengan buku ini.

Buku ini mengajar pembaca cara-cara hendak menulis untuk majalah, bermula daripada peralatan yang diperlukan sehinggalah membuat majalah sendiri. Di dalam buku ini dibincangkan juga mengenai komisyen, cara membuat penyelidikan dan jenis-jenis penulisan majalah seperti riviu dan previu, catatan perjalanan, menulis untuk kolum tertentu dan sebagainya.

Keseluruhan kandungan buku ini terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama 'Getting Started', menceritakan tentang perkara asas yang perlu diketahui oleh penulis-penulis artikel sebelum mereka mula menulis, memahami keadaan pasaran supaya apa yang mereka tulis sesuai, bagaimana mendapatkan idea, cara-cara membuat temuramah dan sebagaianya.

Bahagian kedua pula 'Writing An Article' lebih tertumpu kepada proses penulisan. Bahagian ketiga 'Specialist Writing' pula membincangkan mengenai jenis-jenis penulisan majalah, dan bahagian terakhir 'Developing A Career' memberi panduan untuk penulis mengembangkan kareer mereka sebagai seorang penulis sebuah majalah.

Di setiap bab, terdapat tips yang berguna untuk penulis dan pada penghujung bab terdapat tugasan yang perlu pembaca lakukan untuk praktikkan apa yang telah dipelajari di sepanjang bab tersebut.

Setakat ini saya hanya sempat membaca bahagian pertama. Pada awalnya saya seronok membaca kerana ilmu yang disampaikan mudah kerana dapat difahami dengan mudah tetapi semakin saya menghampiri penghujung bahagian pertama, saya dapati yang saya perlu membaca dengan lebih teliti, mungkin kerana penulis berasal daripada United Kingdom, maka apa yang ditulisnya berpandukan keadaan dan undang-undang di sana (atau mungkin saya yang sebenarnya tidak tahu bahawa perkara tersebut turut diamalkan oleh penulis dan majalah di Malaysia. Nampaknya saya perlu belajar lebih banyak tentang penulisan di Malaysia).

Saya masih membawa buku ini ke mana-mana sahaja saya pergi (dan saya sudah mempunyai beg baru yang lebih besar - muat untuk membawa buku untuk dibaca dan buku nota untuk mencatat!) kerana saya masih bersemangat untuk mempelajari selok-belok penulisan di majalah dan mahu menulis untuk majalah. Doakan yang terbaik untuk saya ya!



Sedikit Sebanyak: 101 Doa Daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan


Buku 101 Doa Daripada Hadis-hadis Sahih ini disyorkan oleh makcik saya, seorang pensyarah di UIAM, Gombak. Kebetulan saya terjumpa buku ini di gerai Telaga Biru di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011).

Di dalam buku ini terkandung bab-bab yang mengupas tentang doa seperti makna doa, sebab kita berdoa, perkaitan di antara doa dan ikhtiar, adab-adab berdoa, waktu-waktu mustajabnya doa, dan sebagainya. Selepas membaca tentang doa, penulis mengumpulkan doa-doa yang terkandung di dalam hadis-hadis, kebanyakkannya merupakan doa-doa harian yang boleh dipraktikkan setiap masa dalam hidup kita. Terdapat juga doa-doa yang tidak pernah saya amalkan sepanjang hidup saya seperti doa menjawab salam orang kafir, doa masuk kampung atau bandar, doa masuk pasar, dan lain-lain lagi. Doa-doa yang diajar diikuti dengan keterangan dan petua beramal.

Saya suka susunan bab-bab di dalam buku ini. Penulis bukan semata-mata menghimpunkan doa-doa, tetapi sebelum diajar doa-doa tersebut, beliau mengajar kita perihal doa agar kita memahaminya terlebih dahulu. Jika kita benar-benar tahu apa yang kita lakukan, pasti kita akan lakukannya betul-betul supaya mencapai matlamat. Sama seperti jika kita lapar tetapi kita tidak tahu cara makan dengan betul, sebab kita makan dan makanan apa patut dimakan, adakah kita dapat mencapai matlamat kita untuk menghilangkan rasa lapar tadi?

Pada minggu lepas, ketika sesi Sisters’ Circle, saya berkongsi tentang doa dengan menjadikan buku ini sebagai rujukan utama saya. Ramai sebenarnya di antara kita, muda atau tua, tidak betul-betul memahami tentang doa dan berdoa. Kebanyakkannya (terutamanya ketika berdoa secara berjemaah) tidak mengikuti adab berdoa yang betul. Jadi, usah salahkan siapa-siapa jika kita berdoa tetapi doa kita tidak dimakbulkan Allah. Contoh yang saya berikan kepada adik-adik ketika Sisters’ Circle minggu lepas, kita ingin mohon doa dengan Allah lebih kurang seperti kita ingin minta duit dengan ibu kita. Adakah kita tidak memandang muka ibu ketika menadah tangan meminta duit? Adakah kita menjerit-jerit ketika meminta dengan ibu kita? Jika kita tidak memandang muka ibu dan menjerit-jerit, adakah ibu kita ingin memberi duit tersebut dengan senang hati?

Buku ini sesuai dibaca oleh semua orang yang tahu membaca. Tulisannya jelas, keterangannya mudah difahami. Buku ini patut dimiliki oleh setiap keluarga Islam supaya mereka boleh jadikan buku ini sebagai rujukan bersama dalam mencari kasih sayang dan redha Allah.



Sedikit Sebanyak: Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah oleh Bobbi DePorter, diterjemahkan oleh Rawaida Kamarudin


Sudah lama saya tidak menulis tentang buku yang saya baca atau miliki. Kali ini (memandangkan saya baru habis membacanya), saya ingin berkongsi mengenai buku ‘Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah’ yang dikarang Bobbi DePorter, diterjemahkan oleh Cik Puan Rawaida Kamarudin/Waida. Buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 ini diterbitkan oleh PTS Professional. Harganya tidaklah mahal, cuma RM14.00 (tapi tempoh hari saya mendapat potongan harga 25 peratus), jika dibandingkan dengan ilmu yang diperolehi daripada judul ini, memang saya katakan harga buku ini adalah murah. Jadi anda patut mendapatkannya, terutamanya jika anda seorang pelajar atau hendak menjadi penulis yang kurang stres, lebih-lebih lagi ketika dihambat ‘deadline’ dan disekat oleh ‘writer’s block’.

Ketika membelek-belek buku ini di rak buku gerai PTS, saya tertarik dengan ciri-ciri buku ini; bahasa yang digunakan mudah, tulisan yang digunakan tidak terlalu kecil, jenis kertasnya cantik dan terdapat gambar di halaman tertentu. Saya merasakan pembaca buku ini tidak mempunyai banyak masalah dalam memahami perkara yang disebutkan di dalam buku ini.

Saya mula membaca buku ini pada hari saya membeli buku ini – 29 April, dan tamat membacanya pada 2 Mei. Sehingga kini, saya hanya sempat membacanya sekali, dan saya dapat merasakan yang saya akan selalu membelek buku ini dari masa ke masa untuk ‘menghadam’ ilmu di dalam buku ini.

Selepas membacanya, buku ini memang tidak mengecewakan. Boleh dikatakan, apa yang saya telah pelajari semasa di UNISEL dahulu diringkaskan menjadi sebuah buku yang nipis dan mudah diikuti (oh ya, saya seorang pelajar TESL, maka teknik penulisan dan bagaimana mengajar pelajar menulis adalah subjek wajib diambil). Yang paling saya suka adalah buku ini juga mengikuti ‘Process Approach’ di dalam mengajar menulis – bermula dengan proses ‘brainstorming’ kemudian susun dan mula menulis.

Di dalam buku ini juga dimuatkan akronim untuk membantu pembaca mengingati dan memahami konsep yang dikemukan. Antara akronim yang digunakan adalah POW!, TARGET, SPAM dan WIIFM. Akronim tersebut diterangkan satu-persatu dengan jelas.

Satu lagi ciri menarik buku ini adalah terdapat ruang catatan untuk pembaca mencuba sendiri perkara yang diajar di dalam buku ini, dan untuk menulis ide-ide pembaca. Saya seronok melakarkan ide-ide di ruangan yang diberi di dalam buku ini!

Buku ‘Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah’ ini memang memudahkan proses penulisan, mengurangkan stres penulis, dengan hasil yang cemerlang. Untuk yang sering buntu memulakan apa juga penulisan, mulakan dengan ‘brainstorm’, memang kurang stres! Kalau tidak percaya, cubalah! ;)



Sedikit Sebanyak: Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri oleh Burhan Sodiq

Buku ini dibeli ketika saya di Giant Batu Caves. Saya sendiri sudah pernah membaca buku kaya Burhan Sodiq sebelum ini dan saya membayangkan gaya bahasanya dan penyampaiannya seperti di dalam buku-buku beliau yang lain. Rupa-rupanya tidak juga. Ada sedikit kelainan. Mungkin kerana telah diterjemahkan dengan lebih baik dan saya rasa penyampaiannya lebih menarik, disertai kartun yang menyimpulkan bab yang dibincangkan pada awal setiap bab (membuatkan saya teringatkan buku Karya Kita Hak Kita daripada Puan Nisah Haron).

Secara ringkasnya, 'Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri' karya Burhan Sodiq ini membincangkan fenomena berkahwin lambat, lebih-lebih lagi di kalangan wanita Islam. Di dalam buku ini disertakan cara terbaik dalam menghadapi dilema membujang dan kisah-kisah untuk dijadikan panduan mereka yang masih bujang dalam menghadapi persoalan jodoh.

Memikirkan hal jodoh, kadang-kala boleh mengundang air mata (pangalaman kah? hehe!) tetapi apabila difikir-fikirkan, mungkin juga jodoh yang lambat terbit daripada kesilapan kita menolak jodoh sebelum ini. Hm.. saya pernah menolak berkenalan dengan seseorang yang diperkenalkan oleh keluarga. Cuma sekali itu sahaja. Dan sehingga kini, saya masih single (hoho!). Atau mungkin Allah ada perancangan lain untuk saya?

Di dalam buku ini juga ada menyentuh bab 'perigi mencari timba'. Masyarakat kita (dan masyarakat di tempat lain pun ada juga) yang menganggap perkara tersebut memalukan dan tidak mengikut adab dan adat. Bagi saya, selagi ianya tidak haram di sisi Islam, mengapa tidak boleh, asalkan lelaki itu baik agamanya dan ianya dijalankan dengan tertib? Sedangkan Siti Khadijah RA yang melamar Nabi Muhammad SAW bukan?

Seperti hadis dari Anas RA, dia berkata,
"Telah datang seorang wanita daripada Rasulullah SAW dan menawarkan diri kepadanya, dan berkata, "wahai Rasulullah, apakah engkau berhajat (mahu berkahwin) kepadaku?" Lalu ketika menceritakan hadis ini, maka anak perempuan Anas RA mengatakan, "Sungguh sedikit malu perempuan itu dan buruk akhlaknya." Lalu dijawab oleh Anas RA, "Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawarkan dirinya itu) lebih mulia dan baik daripadamu kerana dia mencintai Rasulullah SAW dan menawarkan dirinya demi kebaikan."
(HR al-Bukhari)

Ini salah satu pembacaan yang menarik sebenarnya - dan sesuai dijadikan hadiah buat teman-teman yang masih sendiri. Saya telah menghadiahkan buku tersebut kepada seorang sahabat saya di Bachok kerana dia juga seperti saya, bimbang dan sedih kerana masih belum bertemu jodoh (dan melihat sahabat-sahabat lain gembira bersama suami dan anak masing-masing buat kami bertambah hiba!). Saya harap sahabat saya itu mendapat manfaat daripada buku tersebut, insya-Allah.



Sedikit Sebanyak: Karya Kita Hak Kita oleh Nisah Haron


Semalam saya baru sahaja kembali membaca buku ‘Karya Kita Hak Kita’ daripada Nisah Haron. Sebelum ini saya sudah membaca 1/3 daripada kandungan buku tersebut tetapi selepas rak buku saya roboh (mungkin gara-gara buku-buku saya berat dan tidak mampu ditampung oleh rak buku itu), terdapat beberapa buku yang saya baca separuh jalan tidak dapat saya teruskan pembacaan kerana buku-buku saya disusun menjadi menara berkembar yang tinggi – menyukarkan saya mengambil dan menyimpan buku-buku saya, bimbang menara (buku) berkembar pula yang roboh. Sekarang rak saya sudah kukuh dan cantik, maka saya lebih senang hati mengambil dan menyimpan buku sesuka hati saya.

Di dalam buku ‘Karya Kita Hak Kita’, terdapat beberapa perkara yang baru dan menarik bagi saya. Perkara pertama, kita tidak boleh mendakwa ‘idea’ kita ‘dicuri’ kerana hanya karya asli yang telah ditulis – direkodkan atau telah dijadikan satu bentuk bahan dilindungi undang-undang hak cipta. Jika saya menceritakan tentang idea baru kepada seorang rakan dan beliau menggunakan idea tersebut untuk menghasilkan sebuah karya bertulis, saya tidak boleh mendakwa karya beliau milik saya.

Saya pernah bertanya Puan Nisah Haron mengenai hal ini. Beliau menjelaskan, menciplak karya orang lain adalah apabila kita mengambil sebarang ungkapan yang membentuk bahagian penting daripada karya asal. Jika ungkapan yang digunakan adalah asli, itu bukanlah melanggar hak cipta.

Seterusnya, saya baru mempelajari satu frasa baru iaitu ‘karya bertindan’. Karya bertindan ini berlaku apabila karya kita diterbitkan di media cetak (seperti majalah bulanan atau akhbar mingguan) tetapi pada masa yang sama, turut diterbitkan di laman siber peribadi.

Jika kita menghantar karya kita untuk diterbitkan di dalam sebuah majalan bulanan, ia bermakna kita memberi mereka lesen untuk menerbitkan karya kita selama sebulan. Maka, kita perlulah bersabar dan menunggu sehingga tamat tempoh tersebut sebelum menyiarkan karya kita di laman web peribadi. Contohnya, jika karya kita diterbitkan di majalah A pada bulan Julai 2010, kita perlu menunggu sehingga Ogos 2010 untuk menyiarkan karya yang sama di dalam laman web peribadi kita.

Bayangkan karya kita tersiar di dalam majalan bulanan yang perlu dibeli untuk membacanya sedangkan kita menyiarkan karya yang sama di laman web peribadi kita secara percuma pada masa yang sama, sudah tentu lebih ramai pembaca memilih membaca secara percuma. Ini sudah tentu tidak adil buat majalah bulanan tersebut.

Jika mahu lebih banyak panduan mengenai hak cipta, bacalah buku ‘Karya Kita Hak Kita’. Saya suka membaca buku ini kerana bukunya besar, tulisannya menarik dan senang dibaca, dan setiap tajuk disertai ruangan komik – memudahkan lagi pemahaman saya berkenaan tajuk-tajuk yang dibincangkan.

** Diambil daripada blog saya di Kapasitor.



Sedikit Sebanyak: How to talk to Anyone, Anytime, Anywhere - The Secrets of Good Communication oleh Larry King

Buku ini ditulis oleh Larry King bersama dengan Bill Gillbert. Saya pinjam buku ni dari seseorang.

Saya tertarikh untuk pinjam dan baca buku ini kerana saya suka jika ada orang yang boleh dibawa berbual, maka tentulah saya perlu berkomunikasi untuk mengelakkan kebosanan, jadi saya perlu tahu rahsia-rahsia untuk berkomunikasi dengan baik dengan orang lain. 

King berkongsi bahawa asas kepada perbualan yang berjaya adalah kejujuran, menampilkan attitude yang betul, menunjukkan minat terhadap orang lain dan keterbukaan tentang diri sendiri.

Bagi saya, ada betulnya apa yang disenaraikannya, berdasarkan pengalaman saya.

Penulis juga berkongsi tentang perkara yang patut diperkatakan sewaktu berbual dengan orang yang baru dikenali, tentang soalan yang bagaimana yang kita patut elak kerana itu boleh menyebabkan perbualan kita susah untuk berkembang, dan perkara utama dalam setiap perbualan iaitu DENGAR.

Apabila kita mendengar dengan baik, kita akan peka dengan apa yang diperkatakan, lalu membantu kita membuat jangkaan apa yang akan berlaku seterusnya dan apa yang boleh dibualkan seterusya. Mendengar merupakan peraturan yang sangat penting dalam memastikan komunikasi kita efektif, Sudah tentulah jika kita gagal mendengar dengan baik, salah faham boleh berlaku. Jadi, marilah kita tajamkan kemahiran mendengar kita supaya kita dapat berkomunikasi dengan lebih baik.




Hubungi Saya

Name

Email *

Message *

Statistik