Buku ‘Urus Sendiri SOHO Anda’ merupakan salah satu buku yang saya gemar kerana dua perkara: perkara yang dikupas dalam buku ini dan susun aturnya menarik. Buku ini ditulis oleh Mohd Zulfadli dan Malina J, terbitan PTS Professional.
‘SOHO’ merupakan singkatan untuk Small Office, Home Office dan membincangkan mengenai pengurusan SOHO supaya dapat memberi pulangan yang besar kepada pengurus SOHO. Penulis, Mohd Zulfadli, mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam bidang perniagaan dari rumah. Pengalaman yang dikutip sepanjang lebih enam tahun itu dikongsi bersama pembaca di dalam buku ‘Urus Sendiri SOHO Anda’.
Buku ini dibahagikan kepada enam bahagian. Bahagian pertama membincangkan perkara-perkara asas SOHO seperti faktor-faktor orang memilih SOHO, undang-undang berkaitan dan rancangan perniagaan. Bahagian kedua sehingga enam membincangkan tentang pengurusan pejabat dan perniagaan.
Sepanjang pembacaan, kita akan dapati beberapa jadual dan gambar rajah yang boleh memberikan gambaran jelas mengenai perkara yang dibincangkan.
Walaupun buku ini fokusnya mengenai perniagaan, penulis tidak lupa menitipkan sedikit tips dan nasihat kesihatan dan keselamatan buat usahawan SOHO kerana jika kedua-dua perkara tersebut tidak dijaga rapi, kelancaran pengurusan SOHO akan terjejas.
Buat mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, terutamanya suri rumah, buku ini sangat sesuai untuk anda.
Selamat ber’SOHO’! *wink*
No comments:
Post a Comment