Showing posts with label PTS. Show all posts
Showing posts with label PTS. Show all posts

Sedikit Sebanyak: Urus Sendiri SOHO Anda oleh Mohd Zulfadli & Malina J.


Buku ‘Urus Sendiri SOHO Anda’ merupakan salah satu buku yang saya gemar kerana dua perkara: perkara yang dikupas dalam buku ini dan susun aturnya menarik. Buku ini ditulis oleh Mohd Zulfadli dan Malina J, terbitan PTS Professional.

‘SOHO’ merupakan singkatan untuk Small Office, Home Office dan membincangkan mengenai pengurusan SOHO supaya dapat memberi pulangan yang besar kepada pengurus SOHO. Penulis, Mohd Zulfadli, mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam bidang perniagaan dari rumah. Pengalaman yang dikutip sepanjang lebih enam tahun itu dikongsi bersama pembaca di dalam buku ‘Urus Sendiri SOHO Anda’.

Buku ini dibahagikan kepada enam bahagian. Bahagian pertama membincangkan perkara-perkara asas SOHO seperti faktor-faktor orang memilih SOHO, undang-undang berkaitan dan rancangan perniagaan. Bahagian kedua sehingga enam membincangkan tentang pengurusan pejabat dan perniagaan.

Sepanjang pembacaan, kita akan dapati beberapa jadual dan gambar rajah yang boleh memberikan gambaran jelas mengenai perkara yang dibincangkan.

Walaupun buku ini fokusnya mengenai perniagaan, penulis tidak lupa menitipkan sedikit tips dan nasihat kesihatan dan keselamatan buat usahawan SOHO kerana jika kedua-dua perkara tersebut tidak dijaga rapi, kelancaran pengurusan SOHO akan terjejas.

Buat mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, terutamanya suri rumah, buku ini sangat sesuai untuk anda.

Selamat ber’SOHO’! *wink*



Sedikit Sebanyak: Kelab Da Vinci oleh Nazry Salam


Sudah lama saya hendak menulis tentang novel pertama karya Nazry Salam ini. Tuan Nazry, maaf berjuta-juta lemon saya pohon kerana sudah berbulan-bulan, baru sekarang saya sempat menunaikan janji saya.

Nazry Salam, yang saya kenal asalnya seorang pelukis komik, rupa-rupanya turut berbakat menulis novel! Kagum sungguh saya!

Novel pertama beliau ‘Kelab Da Vinci’ terbitan PTS One menceritakan tentang seorang pelajar baru sekolah Sri Perdana bernama Nizam. Dia memilih untuk menyertai Kelab Melukis yang rupa-rupanya hanya disertai oleh 6 orang termasuk dirinya sendiri! Kelab Melukis juga tidak mempunyai guru penasihat dan dianggap tidak cemerlang sehingga Tuan Pengetua ingin membubarkan kelab tersebut. Bagi menyelamatkan Kelab Melukis, ahli-ahli kelab tersebut bertemu Tuan Pengetua.

Tindakan berani mereka membuatkan pembubaran ditarik balik tetapi terdapat syart-syarat yang perlu dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan. Jika mereka gagal melaksanakan syarat-syarat tersebut, Kelab Melukis akan dibubarkan secara automatik. Untuk mengetahui apa syarat-syaratnya dan apa tindakan ahli-ahli Kelab Melukis untuk memenuhi syarat-syarat yang diberkan itu, bolehlah baca novel ‘Kelab Da Vinci’.

Dari segi penceritaan, ianya santai dan menyeronokkan, terutamanya untuk pembaca remaja. Saya kira, itu elemen penting jika ingin mereka merasa seronok membaca, seterusnya memahami jalan cerita yang telah disusun penulis.

Setiap jalan cerita mempunyai mesej tersendiri. Di dalam novel ini, banyak mesej nilai-nilai murni yang ingin disampaikan. Dengan jalan cerita yang santai, mesej tersebut mampu disampaikan kepada remaja yang sememangnya gemar dengan perkara santai. Bagus bukan? Membaca bukan sahaja mengisi masa lapang, tetapi mempelajari perkara-perkara baru walaupun di dalam sebuah novel.

Sebagai seorang penulis baru yang menulis novel remaja, bagi saya novel ini bagus. Dan, saya suka lukisan watak-watak yang diselitkan di dalam novel ini. Teruskan menulis (dan melukis) Nazry! Ganbatte!

Jika anda ingin membeli novel ini secara 'online' boleh ke kedai buku online PTS, Book Cafe.



Sedikit Sebanyak: Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah oleh Bobbi DePorter, diterjemahkan oleh Rawaida Kamarudin


Sudah lama saya tidak menulis tentang buku yang saya baca atau miliki. Kali ini (memandangkan saya baru habis membacanya), saya ingin berkongsi mengenai buku ‘Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah’ yang dikarang Bobbi DePorter, diterjemahkan oleh Cik Puan Rawaida Kamarudin/Waida. Buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 ini diterbitkan oleh PTS Professional. Harganya tidaklah mahal, cuma RM14.00 (tapi tempoh hari saya mendapat potongan harga 25 peratus), jika dibandingkan dengan ilmu yang diperolehi daripada judul ini, memang saya katakan harga buku ini adalah murah. Jadi anda patut mendapatkannya, terutamanya jika anda seorang pelajar atau hendak menjadi penulis yang kurang stres, lebih-lebih lagi ketika dihambat ‘deadline’ dan disekat oleh ‘writer’s block’.

Ketika membelek-belek buku ini di rak buku gerai PTS, saya tertarik dengan ciri-ciri buku ini; bahasa yang digunakan mudah, tulisan yang digunakan tidak terlalu kecil, jenis kertasnya cantik dan terdapat gambar di halaman tertentu. Saya merasakan pembaca buku ini tidak mempunyai banyak masalah dalam memahami perkara yang disebutkan di dalam buku ini.

Saya mula membaca buku ini pada hari saya membeli buku ini – 29 April, dan tamat membacanya pada 2 Mei. Sehingga kini, saya hanya sempat membacanya sekali, dan saya dapat merasakan yang saya akan selalu membelek buku ini dari masa ke masa untuk ‘menghadam’ ilmu di dalam buku ini.

Selepas membacanya, buku ini memang tidak mengecewakan. Boleh dikatakan, apa yang saya telah pelajari semasa di UNISEL dahulu diringkaskan menjadi sebuah buku yang nipis dan mudah diikuti (oh ya, saya seorang pelajar TESL, maka teknik penulisan dan bagaimana mengajar pelajar menulis adalah subjek wajib diambil). Yang paling saya suka adalah buku ini juga mengikuti ‘Process Approach’ di dalam mengajar menulis – bermula dengan proses ‘brainstorming’ kemudian susun dan mula menulis.

Di dalam buku ini juga dimuatkan akronim untuk membantu pembaca mengingati dan memahami konsep yang dikemukan. Antara akronim yang digunakan adalah POW!, TARGET, SPAM dan WIIFM. Akronim tersebut diterangkan satu-persatu dengan jelas.

Satu lagi ciri menarik buku ini adalah terdapat ruang catatan untuk pembaca mencuba sendiri perkara yang diajar di dalam buku ini, dan untuk menulis ide-ide pembaca. Saya seronok melakarkan ide-ide di ruangan yang diberi di dalam buku ini!

Buku ‘Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah’ ini memang memudahkan proses penulisan, mengurangkan stres penulis, dengan hasil yang cemerlang. Untuk yang sering buntu memulakan apa juga penulisan, mulakan dengan ‘brainstorm’, memang kurang stres! Kalau tidak percaya, cubalah! ;)



Sedikit Sebanyak: Aku Mahu Ke New York 1 & 2 oleh Ain Maisarah

Hai! Kali ini saya agak 'gedik', seolah-olah saya adalah salah seorang daripada ahli The Wannababes daripada sekolah Sri Bangsar (yang mungkin dibatalkan keahlian sebaik sahaja mereka melihat baju saya bukan datang daripada butik berjenama antarabangsa!).

 

Mula-mula, biar saya terangkan kenapa saya membeli buku ini. Hehe.. Ketika saya sedang mencari buku untuk dibeli di BookCafe, saya terjumpa judul ini. Melihatkan judulnya, mengingatkan saya kepada janji saya dan sahabat baik saya ketika saya berada di Leeds dahulu. Kami berjanji akan ke New York bersama-sama, yang pasti dia ingin menempa nama dalam bidang perekaan fesyen di sana. Saya pula? Mahu jadi macam Peter Parker agaknya! We were teenagers and we built dreams and hopes so big that now I don't know whether they would come true or not.

Mereka yang sudah biasa membaca buku daripada Ain Maisarah tentu kenal siapa The Wannababes and how mean they are to other people. Mereka pentingkan diri sendiri dan hanya bercampur dengan orang yang 'seperti mereka' sahaja - a bunch of rich kids, who only wear expensive stuff, go for vacations overseas, always get what they want - kesimpulannya, kehidupan yang tidak mencabar dan membosankan!

Kali ini, The Wannababes mahu ke New York. Diana dan Sazzy terdengar cikgu mereka berbual mengenai program pertukaran pelajar ke New York. Kesemua ahli The Wannababes mahu turut serta sehingga sanggup buat apa sahaja bagi mendapatkan tempat ke New York. Mereka amat gelojoh  dan bodoh sombong sebenarnya - mendengar sahaja perkataan 'New York' mereka sudah cukup gembira tetapi mereka tidak bertanya lebih lanjut mengenai program tersebut.

Apabila tiba di tempat pertukaran pelajar, barulah mereka tahu apa yang mereka perlu hadapi. Mereka bakal tinggal di dalam hutan selama sebulan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan bekalan air paip di rumah. New York ada hutan dan masih ada tempat tanpa bekalan elektrik dan air paip? Betul ke? Haa... itu kenalah baca sendiri, tak seronok lah kalau saya ceritakan semua kan? *wink*

Anyway, pada akhir cerita (Aku Mahu Ke New York 2), Fasha iaitu ketua kumpulan The Wannababes membuktikan yang dia tidaklah teruk sangat sehingga sanggup membeli kasut Crocs untuk semua penduduk di 'New York' dan menghantar kasut-kasut tersebut all the way from Kuala Lumpur!

Tetapi, saya tetap rasa ada bahagian cerita ini tidak logik. Ayah Fasha menghantar orang untuk memasukkan bekalan air dan elektrik ke rumah tempat Fasha dan kawan-kawannya menginap tetapi kesemua itu dapat dimasukkan dalam masa beberapa hari sahaja. Macam tak logik je! Atau mungkin orang kaya boleh buat apa sahaja dengan duit mereka, even mempercepatkan sesuatu perkara yang biasanya sukar disiapkan? Entahlah...



Sedikit Sebanyak: Doa Untuk Aku oleh Bahruddin Bekri

Akhirnya! Dapat juga saya sudahkan pembacaan novel Doa Untuk Aku karya Bahruddin Bekri, terbitan PTS One.

Novel ini mengisahkan seorang lelaki bernama Adly yang berasal daripada kawasan pedalaman di Sarawak yang kehilangan bapa dan kematian ibu. Sewaktu ibunya masih hidup, Adly berjaya lulus di dalam pelajaran. Dia percaya yang doa ibunya makbul, dan kerana itulah juga, sejak ibunya meninggal dunia, dia sering gagal di dalam peperiksaannya di Universiti Kuching.

Disebabkan doa, dia pergi bertanya kepada Jefri tentang doa-doa yang makbul dan Adly memulakan pencarian 40 doa daripada orang-orang yang makbul doa mereka. Dia menghantar e-mel kepada mereka yang tidak dikenali, dan selepas ahli kumpulan akademiknya Amin Bin Demit tahu mengenai misi Adly, mereka bersetuju membantu Adly mencari 40 doa tersebut. Disepanjang misinya, Adly bertemu dengan orang daripada latar belakang yang berbeza dengan kisah hidup yang menarik (dan lucu juga kot!), yang akhirnya membawa Adly kepada misteri kehilangan ayahnya.

Kalau nak tahu lagi kisahnya, sila dapatkan buku ni dan baca sendiri. Hehe. Novel ini, kalau dibandingkan dengan novel Dunia Ini Sederhana Kecil daripada penulis yang sama, saya lebih suka Dunia Ini Sederhana Kecil - tetapi kelakarnya tetap sama, maklumlah, penulisnya pun sama. Saya rasa Tuan Bahruddin Bekri seorang individu yang lucu juga. Betul ke?

Kisah ini sebenarnya membuatkan saya terfikirkan kuasa doa. Kebanyakkan masa kita acuh tak acuh menadah tangan berdoa, selepas itu kalau Tuhan tidak makbulkan doa kita, kita marah (sampai ada yang bilang Tuhan tidak adil, nauzubillah!). Padahal Tuhan itu Maha Mengetahui, kalau kita berdoa dengan bersungguh-sungguh insya-Allah pasti Tuhan akan bantu kita. Jika doa kita tidak dimakbulkan sekarang pun, pasti ada hikmahnya. Tuhan itu perancang yang hebat, maka usah ragu. Dan ya, kita juga perlu berusaha. Kalau berdoa tetapi tiada usaha dan hanya menunggu keajaiban, saya tidak tahu bila doa anda akan makbul!



Sedikit Sebanyak: Karipap-karipap Cinta oleh Nazri M. Annuar

Siapa pernah makan 'karipap cinta'? Mahu resepinya?

Bahan-bahannya adalah tiga ulas rasa suka, satu botol hati gembira, satu biji rendah diri (saiz besar), dua cawan tolak ansur, lima keping kehormatan, secubit rasa rindu, tiga batang tanggungjawab (dipotong halus), tiga bekas cita-cita dan sepuluh guni kejujuran (diayak untuk membuang kata dusta). Cara-cara membuatnya ialah, mula-mula ramuan-ramuan tersebut perlulah diadun dengan ilmu dan akal. Masukkan semua ramuan yang telah diadun tadi ke dalam kuali persahabatan, tunggu sehingga masak. Setelah masak, hidangkan bersama yang tersayang.

Amacam? Boleh buat? Tidaklah susah mana kan? Hehe.


Buku 'Karipap-karipap Cinta' ni karya Nazri M. Annuar dan kulit bukunya menarik, direka macam cover DVD. Novel tersebut mengisahkan tentang seorang lelaki yang bernama Ali yang suka buat kesimpulan tanpa usul periksa dan telah membuat pembohongan yang besar untuk memikat seorang gadis bernama Sarah yang pandai membuat karipap yang sedap.

Jalan cerita Karipap-karipap Cinta adalah santai, sesuai dibaca oleh setiap lapisan umur. Ada sedikit aksi, ada kisah cinta, ada juga babak yang lucu dan menggelikan hati. Semua diadun jadilah kisah sebuah kehidupan (eh?). Oh ya, sebelum mula membaca, pastikan rentak lagu 'Ayat-ayat Cinta' nyanyian Rossa sudah diingat. Baca buku ini, nanti anda tahu *wink*

Haa.. walaupun Ali ni macam kalut, tapi dia ada peminat tau! Peminat yang suka memasak untuk Ali. Hehe.. mahu tahu kisahnya, silalah baca sendiri. Tidak lama lagi mungkin keluar filem Karipap-karipap Cinta, siapa yang malas membaca tu, boleh menonton ceritanya nanti - tapi pendapat saya, perasaan membaca dan menonton sesebuah cerita itu berbeza dan saya lebih suka membaca dahulu kisah yang dijadikan filem - minda saya lebih aktif ketika membaca kerana ketika membaca, sudah tentu saya akan membayangkan apa yang dibaca - itu dapat membantu saya jadi lebih kreatif. Itu pendapat saya. Kalau mahu tengok gambar-gambar behind the scene Karipap-karipap Cinta, boleh ke blog Karipap-karipap Cinta (d'movie).



Hubungi Saya

Name

Email *

Message *

Statistik