Sedikit Sebanyak: Sundays at Tiffany's oleh James Patterson dan Gabrielle Charbonnet

Awal bulan ini saya mengikuti ayah saya ke Seremban. Memandangkan waktu kami tiba di Seremban, bilik penginapan kami belum tersedia dan ayah saya ada urusan kerja, jadi saya dan adik saya ditinggalkan sebentar di Seremban Parade.

Selepas puas duduk di kedai mamak, kami jalan-jalan di dalam Seremban Parade, kemudian kami terjumpa kedai yang menjual buku-buku terpakai. Kedainya ringkas, dan cuma ditutup dengan kain, bertentangan dengan kedai The Chicken Rice Shop. Saya memang tak punya banyak duit waktu itu tetapi dek kerana melihat ada buku, saya masuk kedai tersebut, membelek-belek beberapa buah buku. Tidak banyak yang betul-betul menarik minat saya tapi di hujung rak, saya terjumpa buku 'Sunday's at Tiffany's' yang ditulis bersama oleh James Patterson dan Gabrielle Charbonnet. Buku ini bukanlah buku yang sangat lama, dicetak pada tahun 2010 tetapi harganya cuma RM5!

Saya sudah lama tidak membaca novel sebenarnya tetapi seharian di Seremban, duduk di bilik hotel, saya cuma membaca novel ini. 'Sundays at Tiffany's' mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Jane yang mempunyai rakan imaginasi bernama Michael. Apabila Jane berumur 10 tahun, Micheal terpaksa meninggalkan Jane kerana katanya memang menjadi rakan imaginasi kepada kanak-kanak; apabila kanak-kanak sudah berumur 10 tahun, mereka perlu meninggalkan kanak-kanak tersebut.

Apabila Jane meningkat dewasa dia bertemu kembali dengan Micheal yang dewasa. Pelik bukan? Michael adalah rakan imaginasi tetapi Michael juga meningkat dewasa seperti manusia. Bertambah pelik, Michael ketika dewasa boleh dilihat oleh manusia lain tapi mungkin ketika 'bertugas' sahaja Michael tidak dapat dilihat tetapi pada waktu 'cuti' dia boleh dilihat. :p

Apa pun, kehadiran Michael buat kali kedua mengubah hidup Jane.

Penulis memasukkan elemen magis dalam kisah ini membuatkannya lain berbanding novel romantik yang lain. Bahasa yang digunakan mudah difahami dan bersahaja membuatkan saya seronok meneruskan pembacaan saya. Cuma, watak Hugh (kekasih Jane yang gilakan nama dan populariti) dapat dijangka tindakan dan niatnya dengan mudah. Mungkin ciri-ciri tipikal seorang artis yang ingin meraih nama memang sering digambarkan begitu dalam kisah-kisah lain.

Novel ini memang seronok dibaca! Usai membaca, bolehlah tonton filem 'Sundays at Tiffany's' pula. :)





No comments:

Hubungi Saya

Name

Email *

Message *

Statistik